SYAIR LI-ATTAR GHIB
ABU HASSAN SHAM (PENYELENGGARA)
Wahai sayangnya akan saudara,
Sebab bersama-sama mengembara,
Tiada pernah muafakatnya cedera,
Segala pekerjaan segala perkara.
Dengan kehendak tuhan yang mulia,
Dua orang saudara meninggalkan dunia,
Hendak disusahkan tiada berdaya,
Kerana perbuatan tuhan yang tersedia.
Melainkan hamba berbanyak sabar,
Akan perintah wahid al-khahar,
Ialah tuhan bersifat jabbar,
Akan hambanya kecil dan besar.
Kita pun kelak demikian itu,
Meninggalkan dunia juga yang tentu,
Tidak memilih raja dan ratu,
Semuanya itu pergi ke situ.
Hendaklah kita tunduk tengadah,
Lihat kepada datuk nenek
yang sudah-sudah,
Adil dan insaf jua berfaedah,
Menaikkan kita pangkat saadah.
Rakyat seluruhnya hendaklah dipelihara,
Kesenangan hidupnya dikira-kira,
Istimewa pula sanak saudara,
Jangan sekali diberi cedera.
Ilmu yang benar hendaklah dimulia,
kerana ilmu mulia anbia,
tuntut ilmu jangan sia-sia,
Yang lain itu tinggal di dunia.
Ayuhai tuan-tuan cuba fikirkan,
serta pandang amat-amatkan,
kematian datuk nenek teladankan,
Kita sepertinya akan didatangkan.